Sunday, November 25, 2012

DIA

       Membara semangat DIA untuk mencari pedoman yang entah hilang kemana. Sedang sebelum ini DIA lah yang memberi pedoman kepada SAYA dan seringkali menjadi teman rapat kepada AKU. Kini DIA telah hilang pedoman. Entah mengapa pedoman yang sememangnya teman rapat DIA menghilangkan diri secara tiba-tiba. Hilangya pedoman DIA menjadi bingung tanpa bicara, menjadi tidak keruan ditimpa bencana. Bagi DIA pedoman sangat-sangat diperlukan untuk meneruskan kehidupan DIA. Pedoman merupakan nadi bagi DIA, apabila ia hilang bagaikan tiada erti lagi kehidupan DIA.

      AKU seringkali meminta bantuan DIA untuk menyelesaikan perbagai kegalauan dan kekusutan dalam diri AKU akan tetapi kini DIA sudah hilang pedoman. Bagaimana mungkin AKU mampu untuk meneruskan hidup ini tanpa DIA. DIA sememangnya yang sering memberi pedoman kepada AKU akan tetapi dengan kehilangan pedoman DIA tidak mampu lagi untuk menuntun AKU dan membantu AKU untuk melaksanakan sesuatu. SAYA hanya mampu bertindak dan pasti sekali tidak mampu untuk bertindak tanpa bantuan AKU dan DIA. Mana mungkin SAYA dapat bertindak tanpa bantuan AKU dan DIA.
      
      Masalah yang sangat besar pada SAYA ketika mana DIA kehilangan pedoman. SAYA hanya akan bertindak melulu dan membuta tuli tanpa matlamat yang jelas andai bertindak sendirian. Bagaimana mungkin SAYA mampu membantu DIA mencari pedoman DIA kembali? Apakah pedoman itu akan kembali bertegur sapa dan bersahabat semula dengan DIA. Mana agaknya pedoman menghilang? Mengapa dengan secara tiba-tiba pedoman menghilangkan diri dan meninggalkan DIA keseorangan? Padahal pedoman selama ini menjadi teman akrab DIA. 

      SAYA hanya mampu rungsing dan tidak mampu untuk bertindak. SAYA takut jika SAYA bertindak segalanya hanya akan menjadi kucar. Bertindak dengan hanya SAYA berseorangan hanyalah akan mengundang padah yang besar. Koloni masyarakat pasti akan mengecam SAYA andai SAYA hanya bertindak secara berseorangan. Apakah AKU tidak mampu untuk membantu SAYA? AKU juga dalam keadaan yang runsing seperti SAYA kerada DIA telah kehilangan pedoman.

       Aduh, DIA sememangnya sukar untuk mencari pedoman kerana pedoman menghilang tanpa diduga. Pedoman mungkin boleh dicari dengan KITA. SAYA wajib meminta bantuan kepada KITA untuk mencari pedoman yang hilang. Kesian pada DIA yang amat rungsing dengan kehilangan pedoman. DIA tidak mampu lagi untuk memberikan pedoman kepada SAYA dan AKU. Sebelum ini DIA lah yang memberi pedoman kepada SAYA dan menuntun AKU dalam menyelesaikan pelbagai masalah serta konflik.

      KITA adakalanya kuat dan adakalanya lemah. Kehadiran KITA mengikut metafora gerakan DIA dalam pelbagai suasana dan keadaan. Seringkali juga KITA berada dalam keadaan buta dan dahaga disebabkan kering kontangya DIA dalam memberi minum kepada KITA. Tika ada pedoman pun DIA masih lagi kering kontang apatah lagi pabila hilangnya pedoman. Adakah mungkin tanpa pedoman untuk DIA mencelikkan KITA dan memberi minum pada KITA di setiap masa yang KITA perlukan. Walaupun begitu DIA sangat-sangat memerlukan KITA dalam misi mencari pedoman yang hilang kerana KITA juga punya kuasa keajaiban yang tak mampu dirungkai oleh AKU. SAYA juga tidak akan mampu bertindak dengan jaya andai KITA tidak turut serta dalam tindakan SAYA.

      Jadi pada siapa yang sepatutnya DIA meminta pertolongan untuk mencari pedoman yang hilang. Mahu diminta kepada AKU sudah sememangnya mustahil kerana AKU tidak akan mampu menyelesaikan sesuatu tanpa DIA. Andai SAYA yang dipinta untuk mencari pedoman pasti lebih mustahil kerana SAYA hanya mampu bertindak dengan jaya apabila dibantu oleh AKU dan DIA. KITA pula adakalanya kuat dan adakalanya lemah mengikut kondisi DIA pada keadaan yang tidak mampu disangka. Manakan mampu untuk KITA mencari pedoman ketika mana KITA sendiri sentiasa berada dalam keadaan pasang surut. 

      Oh, sungguh malang nasib DIA kerana kehilangan pedoman dan dalam masa yang sama sahabat yang selama ini dibantu oleh DIA tidak mampu untuk menyumbang tenaga dalam pencarian pedoman yang hilang entah kemana. DIA cuba memikirkan cara untuk mencari pedoman, DIA cuba menyelidik kembali senarai nama yang masih belum disebut untuk membantu DIA mencari pedoman yang hilang entah kemana. Teringat kembalilah DIA kepada janji DIA bersama satu-satunya yang mecipta DIA. DIA terlupa yang DIA selama ini diciptakan bukan mencipta. DIA terlupa selama ini DIA hanya membantu AKU, SAYA dan KITA yang juga diciptakan sama seperti DIA.

       Akhirnya DIA kembali menghadap NYA. DIA meminta simpati NYA untuk memberikan kembali pedoman yang hilang. DIA merintih semahunya dihadapan NYA sambil benar-benar meminta kepada NYA untuk memberikan kembali pedoman kepada DIA. Berkali-kali dan berhari-hari DIA merintih dan meminta, mengadu dan melutut lemah dihadapan NYA agar berkenan NYA untuk memberi kembali pedoman kepada DIA. Apabila benar-benar kesungguhan meminta dan berserah telah terpampar jelas oleh DIA dihadapan NYA barulah diperkenankan NYA untuk menyerahkan kembali pedoman yang selama ini ianya ditarik daripada DIA kerana keangkuhan DIA yang dilakukan dalam keadaan yang tidak sedar.

       DIA kembali ceria kerana telah diberikan kembali oleh NYA pedoman yang disangka DIA menghilangkan diri akan tetapi yang sebenarnya berada dibawah penjagaan NYA dan rupa-rupanya pedoman itu ditarik sementara oleh NYA untuk menyucikan diri DIA dari sifat angkuh yang durjana. AKU turut berbahagia dengan kepulangan pedoman pada DIA kerana AKU dapat menyelesaikan kekusutan dengan bantuan DIA yang telah memperoleh pedoman kembali. SAYA senang bertindak dan pastinya SAYA yakin yang segala tindakan SAYA akan menjadi satu tindakan yang baik dengan hadirnya bantuan dari AKU yang ada DIA yang telah dikembalikan pedoman. 

        KITA semakin kuat dan cergas tatkala DIA kembali kepada NYA untuk merintih dan meminta dikembalikan pedoman kepada DIA. Kini DIA berserah setinggi mungkin kepada NYA dan tidak lagi lupa diri serta DIA seringkali mengelak dan menjauhkan diri tatkala bersua dengan angkuh yang durjana. Pedoman telah kembali kepada DIA dan pedoman memberitahu DIA yang pedoman terpaksa meninggalkan DIA kerana DIA bersahabat dengan angkuh yang durjana. Barulah DIA mengetahui yang pedoman tidak akan bercampur dengan angkuh untuk bersama-sama membantu DIA. Pedoman berkeras kepada DIA andai angkuh yang DIA jadikan sahabat dikemudian hari pasti perkara hari ini akan berulang kembali. Pedoman akan menghilangkan diri lagi dan duduk ditangan NYA sahaja.

        Mengerti dan jelaslah DIA yang pedoman adalah sahabat suci yang tidak akan sesekali boleh dicampur adukkan dengan molikul yang lain umpama angkuh dan teman yang serupa dengannya. DIA sedar perjanjian DIA dihadapan NYA adalah sesuatu perjanjian yang memerlukan perlaksanaan AKU, SAYA dan KITA secara seiring dan sejalan agar nikmat yang dijanjikan oleh NYA mampu untuk dikecapi oleh DIA serta sahabat yang bersamanya.

        Kini DIA menyerahkan diri dan sering bertanya serta merintih kepadanya dalam melaksanakan sesuatu bersama pedoman untuk membantu AKU, SAYA dan KITA dalam mengharungi kehidupan yang mendatang sehingga tiba hari penghabisan. DIA lah jiwa yang terletaknya IMAN dan NAFSU padanya. Tidak akan sekali DIA mampu untuk menambah IMAN dan mengekang NAFSU dari berlebihan tanpa bantuan dan kebenaran oleh NYA yang satu tiada dua dan tiada tiganya. NYA tidak dicipta malahan mencipta tidak beranak dan diperanakkan. NYA lah yang akan kekal selama-lamanya dan tidak akan sekali mampu mana-mana sahabat seperti DIA untuk menyerupai NYA. NYA lah ALLAH yang Maha Mencipta dan NYA lah tempat satu-satunya sahabat seperti DIA dan lainnya untuk meminta segala. Moga-moga sahabat seperti DIA tidak bersahabat dengan angkuh dan teman sepertinya. Pastikan pabila pedoman hilang daripada DIA dengan segera meminta dan merintih hanya kepada NYA. 

     SAYA - JASAD

     DIA - JIWA / HATI
  
    AKU - AKAL 

    KITA - CINTA / ROH 

    NYA - ALLAH 

Wallahu wa rasuluhu a'lam ...

~Artikel ini direka khas oleh seseorang yang luar biasa pemikirannya..Terima kasih pada yang berkenaan kerana membuatkan otak saya jadi running...~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...