Saturday, February 18, 2012

Jahiliyah seorang dai'e..~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh..!
Bismillahirrahmanirrahim...

Dia telah mendengar pengisian-pengisian yang menyentap tangkai jantungnya untuk bangkit menegakkan Deen. Dia telah menelan makna sebenar kesaksian. Dia telah bersetuju menggalas dakwah ini di atas bahunya, dia telah rapi mengatur langkah nya bersama rombongan angkatan pejuang al haq ini.

Dia juga telah membuka seluruh jiwanya untuk menerima kehadiran berita-berita pedih yang bakal muncul di sepanjang jalan yang sangat panjang ini. Dia sudah mula menghiasi kotak mindanya dengan merenung keruntuhan umat, dan membenarkan hal itu merobek-robek hatinya yang rindu melihat Islam kembali tertegak di tanah tempat dia berpijak. Ya, dia seorang dai’e yang baru mulai sedar, bahawa dia seorang dai’e!

Namun, dia juga yang kemudiannya menonton movie di depan laptop. Bukan satu atau dua movie dalam simpanannya, tapi satu folder nya penuh dengan movie pelbagai tema. Kadang-kadang dia menonton secara online.

Dai’e itu juga yang selepas habis berhalaqah, dia bermain permainan video di komputer. Kadang-kadang sendiri, kadang pula berteman. Tak juga mustahil, temannya itu juga seorang dai’e!

Ada masa, dia seorang dai’e yang tekun membaca komik. Ada masa pula, novel menjadi pilihan – twilight, di persisiran rindu, eat pray love, dan bermacam lagi. Dia lah dai’e yang selepas berpenat mengharungi musim peperiksaan lalu dia berehat dengan membelek majalah-majalah hiburan untuk mencari secebis keseronokan.

Facebook apa kurangnya, buat dia terhibur. Kadang berjam-jam juga dia melekat. Dia dai’e yang rancak melayan chatting, comment-comment sana sini, like itu ini, dan seribu macam lagi interaksi di laman Facebook yang tidak penting pun sebenarnya. Kadang-kala, sehingga solat dilengah-lengahkannya.

Dia juga merupakan dai’e yang masih ringan menjaga ikhtilat – masih ber’sms’ dan becakap di telefon dengan corak ikhtilat yang sepatutnya tidak terlihat pada seorang dai’e yang sudah faham.

Ada waktu pula, dia adalah dai’e yang masih berkeinginan untuk pergi ke tempat-tempat ‘bergembira’ seperti panggung wayang misalnya, atau keraian-keraian yang ada terselit unsur-unsur lagha. Dengan rasional bahawa, dia jaga pakaian, dia bukan pergi dengan couple, dia bukan pergi lama, dan bermacam bentuk lagi alasan untuk membenarkan kehendak dalam dirinya itu. Tak kurang juga alasan yang berbunyi, dia kan seorang dai’e, dia kan pergi usrah, dia kan rancak berprogram! Sekali sekala ke birthday party bukan salah pun.

Sounds familiar? Itulah hakikat seorang dai’e, atau bukan seorang tapi ramai sebenarnya, dai’e yang masih gagal mengikis karat-karat jahiliyah pada dirinya. Kefahaman tentang tugasnya terhadap deen sudah ada, malangnya dia masih gagal menolak kehendak nafsu yang membisik-bisik dalam dirinya – yaitu dorongan rasa mahu untuk mendapat secebis keseronokan di sebalik aktiviti-aktiviti sia (lagha) itu.

Wahai dai’e! Bagaimana kamu mahu menyeru manusia kepada Rabb, agar bertuhankan Allah dan HANYA Allah sahaja, sedangkan kamu sendiri masih bertuhankan kehendak-kehendak yang bersembunyi dalam diri kamu itu? Kamu masih dibayangi telunjuk kemahuan-kemahuan itu?

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”

(al-jatsiyah ayat 23)

Wahai dai’e! sedarkah kamu bahawa gerak kerja ini perlukan perkakasan yang benar-benar baik dan mantap kalau ia ingin dilaksanakan dengan jaya. Sedarkah kamu bahawa kita sudah tak punya masa, kita sudah kesuntukan tenaga.

Masih ingatkah kamu wahai dai’e, akan sepuluh wasiat yang Imam Hassan Al-Banna tinggalkan?

1.Dirikanlah solat dengan segera apabila mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur’an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sungguhlah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus_hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi’ar-syi’ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan da’wah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

Sedarkah kamu wahai dai’e, jalan ini sudah tersedia sangat panjang dan penuh liku, dan ia akan jadi bertambah panjang dan berliku kalau peserta-peserta nya dipikat-pikat oleh kepalsuan manisnya noda jahiliyah.

Sedarkah kamu wahai dai’e, bukan dakwah yang memerlukan kamu, bukan dakwah yang akan rugi kalau kamu tidak kikis dan buang karat jahiliyah itu. Akan tetapi kamu yang akan rugi, akan lebih sakit dan payah, akan lebih perlahan dan akhirnya kecundang. Mahukah kamu tersingkir dari rombongan ini?

Wahai dai’e yang di sayangi, sedarlah betapa bertuahnya kamu kerana dipilih oleh Allah untuk menemui erti perjuangan ini lantas turut bersamanya. Betapa bertuahnya kamu kerana mengenal al haq. Maka jangan lah kamu cemarkan kesucian al haq itu dengan noda jahiliyah yang kamu tak ingin tinggalkan.

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semuam mengetahuinya.”

(albaqarah:42)

Wahai dai’e yang sedang menelan pahitnya mujahadah, sesungguhnya kamu sudah mengerti hakikat ini. Dan kamu memang sedar akan kesulitan ini. Ya, kamu sedang berperang dengan nafsu, kamu sedang lelah berlawan dengan sisa jahiliyah yang begitu bertubi-tubi serangan nya sambil bergerak memikul dakwah di atas dada kamu.

Andai kamu hampir tewas, moga ini jadi semboyan nya. Andai kamu hampir terlena, moga ini jadi penggera nya.

Ayuh dai’e!! Tinggalkan semua kenikmatan palsu itu, andai kamu merasa dunia ini banyak pesonanya, ingatlah bahawa rahmat dan syurga Allah itu jauh lebih manis dan indah, dan Dia tidak sekali-kali mungkir pada janjiNya. Asalkan kamu,benar-benar berjihad!

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(attaubah:39)



Ayuh wahai dai’e, kita maju ke hadapan!

Penulis asal : Eushahida Farizza Raffar

http://eushahidaraffar.com/

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. tulisan sebegini insyaAllah mampu untuk membakar kembali semangat juang para daie.. teruskan penulisan.. ana menyokong ukhti insyaAllah..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...